MENU

INFO KESIHATAN MENTAL 

APA ITU PENYAKIT MENTAL?

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.

 

KESIHATAN MENTAL VS KESIHATAN FIZIKAL

Kesejahteraan mental boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal. Penyakit mental yang serius boleh memberikan impak terhadap kehidupan. Individu yang menderita atau mengalami masalah mental biasanya kurang mengambil berat dari perspektif fizikal mereka. Berdasarkan kajian, kesan penyakit mental dalam kehidupan adalah lebih besar daripada risiko-risiko lain seperti merokok, obesiti dan kencing manis. 
 

KECELARUAN MENTAL

Ciri individu mengalami kecelaruan mental; 

  1. Bertentangan dengan Kebiasaan: Individu memberitahu melihat dan mendengar perkara yang tidak wujud iaitu halusinasi dan delusi.
  2. Tingkah laku bertentangan dengan nilai masyarakat: setiap masyarakat/budaya memiliki tatacara dan adab yang biasa diikuti
  3. Persepsi dan Interpretasi realiti: individu yang berhadapan dengan tekanan dan kesedihan. Selain itu, mereka cenderung untuk menafikan dan tidak dapat menerima kenyataan.
  4. Salah Adaptasi: tingkah laku yang membataskan kefungsian, peranan dan tingkahlaku yang menyebabkan kesedihan dan ketakutan serta takut berada di tempat yang ramai orang seperti pasaraya dan majlis keramaian.
  5. Kesusahan Peribadi: masalah emosi seperti mengalami kebimbangan, takut dan kemurungan. Emosi berpanjangan hingga mengganggu individu untuk berfungsi secara normal.
  6. Tingkah laku berbahaya: individu yang ingin membunuh diri dan melakukan perkara mengancam nyawa orang lain akibat tekanan emosi.

JENIS PENYAKIT MENTAL :

Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu : 

1. Neurosis 

Individu yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan terhadap aspek pemikiran, perasaan dan kelakuan namun ia tidak sampai ke tahap yang boleh menjejaskan kewarasan. Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar keadaan kesihatan namun aktiviti harian sedikit terganggu. Contoh penyakit neurosis ialah: 

  1. Kemurungan
  2. Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami namun jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh dua minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih yang lazim tetapi penyakit kemurungan.
  3. Kebimbangan
  4. Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar debar dan berasa takut yang melampau akan memberi bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya.

2. Psikosis 

Mereka yang mengalami penyakit Psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam aspek pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib yang berkomunikasi dengan mereka yang dikenali sebagai Halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan yang dipanggil Delusi. Antara contoh Delusi ialah beranggapan ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. Mereka mungkin bercakap dengan merapu atau mengarut, berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh Psikosis yang sering dialami adalah: 

  1. Skizofrenia
  2. Antara ciri utama Skizofrenia ialah individu akan mengalami halusinasi, delusi, kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Selain itu juga prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
  3. Kecelaruan Bipolar
  4. Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi mood dan emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa mania) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

3. Kecelaruan Personaliti 

Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.