MENU

INFO KESIHATAN MENTAL 

PENYEBAB BERLAKUNYA PENYAKIT MENTAL

Terdapat beberapa faktor yang berkemungkinan boleh tercetusnya penyakit mental. Antaranya ialah: 

  1. Faktor Genetik / Keturunan

    Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding populasi yang tiada sejarah penyakit berkenaan.
     

  2. Gangguan Bahan Kimia Dalam Otak

    Bila bahan kimia dalam otak yang dikenali sebagai neurotransmitter tidak berfungsi dengan baik gejala penyakit mental akan muncul. Sebagai contohnya:

    • Skizofrenia: Penghasilan dopamin secara berlebihan.
    • Kemurungan: Paras serotonin terlalu rendah.
    • Mania: Paras serotonin meningkat secara melampau.
    • Kebimbangan: terdapat gangguan di dalam pengeluaran dan fungsi noradrenalin.
       
  3. Jangkitan Virus

    Mengikut kajian ada penyakit akibat jangkitan virus telah dikaitkan dengan kemunculan penyakit mental.
     

  4. Sejarah Hidup Yang Getir

    Antara contohnya ialah mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil, terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar.
     

  5. Keadaan Sosio-Ekonomi Yang Rendah

    Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat boleh meningkatkan masalah penyakit mental.

ADAKAH PENYAKIT MENTAL BOLEH DIUBATI?

Ya, penyakit mental boleh diubati. Ini kerana kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubatan yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental. Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan. Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

ADAKAH UJIAN YANG BOLEH MENGUKUR TAHAP KESIHATAN ANDA

Ya. Individu yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental mereka boleh mengambil program saringan kesihatan mental secara atas talian kerana ianya mudah, cepat dan ringkas. Walaubagaimanapun ia tidak dapat menggantikan pemeriksaan dan penilaian yang lazim dijalankan oleh anggota kesihatan mental yang terlatih.

BAGAIMANA ANDA INGIN MENTAL YANG SIHAT?

Mengurus Diri Sendiri

  • Menyedari kelemahan dan kekuatan diri sendiri.
  • Berupaya mengawal perasaan.
  • Sanggup menerima kegagalan.
  • Mampu menghindari kegiatan yang tidak bermoral.
  • Menghargai diri sendiri.

Pergaulan Sosial Yang Sihat

  • Mampu berkomunikasi secara berkesan dengan orang lain.
  • Mampu memberi dan menerima kasih sayang.
  • Tahu menghargai dan mempercayai orang lain.
  • Dapat menerima pendapat orang lain secara terbuka

 

Bersedia Menghadapi Cabaran

  • Berupaya menghadapi dan menyelesaikan masalah.
  • Mampu mengatasi konflik dengan bijak.
  • Mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.
  • Bersedia mendapatkan pertolongan sekiranya gagal menyelesaikan masalah harian.

 

LANGKAH-LANGKAH KE ARAH KESIHATAN MENTAL YANG POSITIF

  • Menerima kenyataan diri secara realistik.
  • Mengendalikan masa dengan baik ( time management ).
  • Merancang perubahan dalam kehidupan secara bijak.
  • Memupuk hubungan harmoni dan kasih sayang dengan ahli keluarga dan orang lain.
  • Menjaga kesihatan fizikal.
  • Menyediakan masa untuk aktiviti fizikal dan riadah.
  • Memastikan rehat dan tidur yang cukup.
  • Mengendalikan tekanan mental secara berkesan.
  • Mengamalkan asas-asas kerohanian yang baik.
  • Berkongsi masalah dengan orang lain dan mendapat pertolongan profesional sekiranya perlu.