MENU

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Dua operasi meroboh binaan tanpa kebenaran dijalankan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sepanjang September lalu.

Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan, Mohamad Yusli Askandar berkata, tindakan penguatkuasaan itu dikenakan ke atas papan iklan (billboard) di atas Rezab Jalan Rancangan Tanah Api-Api dan binaan kedai di atas tanah rizab Pantai Remis. Katanya, keduanya didapati dibina tanpa mendapat kebenaran dan tindakan diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).

“Tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang sedia ada agar tidak lagi membina sebarang struktur di atas tanah kerajaan,” katanya. Mohamad Yusli berkata, binaan billboard didirikan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu dan merupakan kesalahan mengikut Undang–Undang Kecil Iklan (7), Undang-Undang Kecil Iklan MDKS 2007.

Katanya, tindakan meroboh papan iklan berkenaan dilakukan melalui Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (AKTA 133). “Notis meruntuhkan binaan dikeluarkan pada 22 Ogos 2017 yang memerlukan struktur ini dibuka dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis namun tiada maklumbalas daripada agensi papan iklan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MDKS sedang menjalankan Program Pembangunan dan Pengindahan Pantai Remis, merangkumi program penyusunan semula penjaja dan peniaga yang berada di dalam kawasan Pantai Remis. “Tindakan meroboh binaan tanpa izin di pantai itu dilakukan di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (AKTA 133) untuk melestarikan Program Pembangunan Dan Pengindahan Pantai Remis,” katanya.

Kedua-dua operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden dan mendapat kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor, Polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Sumber: Selangorkini