MENU
 

Aktiviti Mencari Siput

Sebuah tasik buatan manusia seluas 20 ekar menanti kedatangan anda. Keistimewaan tasik ini , terdapat banyak siput sedut, siput roman dan siput beliung disekitarnya. Pengunjung tasik ini berpeluang mengutip siput-siput ini sebagai salah satu aktiviti rekreasi. Kewujudan dan kehadiran siput-siput ini adalah kesan daripada keharmonian alam semulajadi yang tidak diganggu oleh sebarang pencemaran.

 

Melihat Biawak Besar

Reptilia ini hidup secara semulajadi dengan habitatnya dan bebas dari sebarang gangguan. Walaupun biawak merupakan ancaman bagi penternak ayam dan itik tetapi kehidupannya di sini tidak memberi ancaman kepada sesiapa.

 

Monyet, Lotong dan Kera

Monyet, Lotong dan Kera merupakan musuh kepada manusia di atas pelbagai sebab. Bagi para petani pula ianya merupakan ancaman kepada tanaman mereka dan kadangkala haiwan ini akan bertindak ganas. Secara umumnya terdapat dua jenis spesis yang terkenal yang senang dapat dilihat di sini iaitu ‘Makonka' dan ‘Long Tail Silver Leaf' . Walaupun haiwan ini adalah dari keluarga yang sama namun ia mempunyai sifat berbeza. Kera bersifat ganas dan suka menghidu. Terdapat beratus-ratus ekor kera ditaman ini . Anda akan dapat menyaksikan gelagat mereka yang hidup liar. Manakala lotong pula merupakan haiwan yang jinak . Anak-anak lotong berwarna ‘oren'. Haiwan-haiwan ini hidup dengan bebas dengan memakan pucuk-pucuk kayu dan buah-buahan hutan yang terdapat disekitarnya.

 

Melihat Ikan

Tasik yang luas ini mengandungi berbagai spesis ikan seperti talapia, belanak, siakap dan udang. Tapi awas, anda tidak dibenarkan untuk memancing ikan disini, tetapi para pengunjung dibenarkan untuk bermain-main dengannya. Tasik ini juga ditumbuhi oleh tumbuhan seperti kangkong, keladi dan teratai.

 

Sangkar Besi

Burung-burung yang spesisnya diancam oleh kepupusan mendapat perlindungan di sini. Sebuah sangkar besi gergasi dibina disini untuk menempatkan burung-burung tersebut supaya ia dapat berkembang dan membiak secara terkawal.

 

 

Aktiviti-Aktiviti Alam Sekitar

Bagi para pengunjung yang datang secara berkumpulan , anda digalakkan untuk mendapatkan khidmat juru pandu, agar anda berpeluang menimba pelbagai pengetahuan asas tentang pemeliharaan ekosistem dan alam sekitar. Selain itu pengujung juga turut akan dididik bagaimana untuk mengitar semula bahan-bahan terbuang seperti kertas yang bertujuan untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan ekosistem dan alam sekitar. Usaha-usaha menanam semula hutan turut dijalankan bagi tujuan untuk memelihara keindahan dan keseimbangan ekosistem yang sedia ada. Hutan merupakan satu jalinan rantaian yang penuh harmoni dan mengandungi pelbagai khazanah yang berharga. Pemeliharaan dan pemuliharaan dijalankan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Kunjungan anda akan mencetuskan rasa kesedaran terhadap kepentingan hutan kepada manusia serta kesalingan antara manusia , flora dan fauna.

 

Nature Hunt

Nature Hunt adalah merupakan acara yang berbentuk permainan . Acara ini boleh dijalankan secara berkumpulan dan menjadi satu aktiviti rekreasi yang bertujuan untuk mengenali hutan dengan lebih dekat lagi. Segala panduan dan maklumat yang berguna dapat digunakan untuk mendalami pelbagai persoalan mengenai hutan.

Aktiviti Lain

Taman Alam Kuala Selangor menjadi pusat penyelidikan mengenai kelawar, kupu-kupu, burung dan hal-hal lain yang berkaitan alam sekitar. Di Taman ini juga disediakan pakej pendidikan mengenai alam sekitar. Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program ini, mestilah berkumpulan yang sekurang-kurangnya mengandungi 40 orang.

 

Lokasi : Pekan lama Kuala Selangor

(Lebih kurang sejam perjalanan dari Shah Alam)

Tarikan : Melihat habitat flora dan fauna, penghijrahan burung dan sistem tasik air payau. 

Kemudahan : Penginapan, tempat berkhemah, tempat letak kenderaan, surau, kantin, dewan kuliah dan dewan pendidikan alam semulajadi, pusat informasi, kaunter, tandas awam dan tempat letak kereta.

Waktu Operasi : 8.30 pagi – 5.30 petang

Bayaran : RM4.00/ Dewasa, RM 1.00 / Kanak-kanak, RM 2.00 / MNS Member (Ahli Persatuan Pencinta Alam Malaysia ), RM2.00 / Senior Citizen

Kemaskini Terakhir: Sabtu, 10 April 2021 - 11:04am